Friday, December 4, 2009

Bandar Kota Bharu Di"Banjiri" Penyokong TGNA

Seawal jam 8:00 pagi, Dataran Ilmu mula dipenuhi oleh penyokong-penyokong PAS dan TGNA dari kawasan berhampiran Kota Bharu dan juga luar Kota Bharu. kehadiran mereka kali ini bukan sekadar untuk mengikuti tazkirah yang biasa diberikan tetapi juga untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap pemerintahan dan kepimpinan TGNA.

Hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat para hadirin yang langsung tidak berganjak dari tempat masing-masing walaupun basah disiram hujan.


Gambar puluhan ribu rakyat sokong tok guru....

Posted by RAKYAT MARHAEN











Puluhan ribu rakyat berhimpun sokong Tok Guru

KOTA BHARU, 4 Dis: Pusat bandar Kota Bharu penuh sesak dengan kebanjiran lautan manusia menghadiri perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apa yang jelas ia ratusan kali ganda lebih ramai berbanding demontrasi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan di hadapan Kota Darulnamim Selasa lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.

Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.

Tidak kurang juga kelihatan ramai anggota polis yang terpaksa berkawal di sepanjang jalan.

Medan Ilmu di Jalan Tok Pati menyaksikan sokongan terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah surut.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.

Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India dan Siam turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Ah Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpinan Tok Guru.

“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.

Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.

Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.

“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya.

Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri.

Sumber : Harakahdaily

Thursday, December 3, 2009

Ya Allah, Hancurkan dan musnahkanlah orang yang menzalimi dan menganiaya orang lain

Najib telah menzalimi rakyat kelantan. Hak royalti telah bertukar menjadi wang ehsan. Ia merupakan satu pengkhianatan yang berlaku kepada rakyat negeri kelantan.

Di negeri di bawah pemerintahan UMNO, hak royalti ini tidak dinafikan. Sebaliknya, penafian hak ini berlaku, pada negeri dibawah kepimpinan PAS yang mahukan islam menjadi asas pemerintahan.

Memandangkan kezaliman ini dilakukan, menyebabkan Tuan Guru nik Abdul Aziz yang merupakan ketua kerajaan negeri kelantan telah berdoa, agar memberi kebinasaan kepada najib ekoran kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat kelantan itu.

Persoalannya, apakah tindakan Tuan guru itu salah?

Bagi memastikan dakwaan itu, dikemukakan hujjah-hujjah berikut;

PERTAMA;

Di awal dakwah, nabi SAW naik atas bukit safa, lalu berucap di atas bukit tersebut untuk menyampaikan kandungan dakwah nabi SAW. Di saat itu, Abu lahab marah dengan dakwah nabi SAW, menyebabkan beliau telah mengambil batu dan membaling ke arah nabi SAW.

Tindakan Abu Lahab tersebut dibenci oleh Allah, menyebabkan Allah menurunkan firman-Nya;

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ

Maksudnya;
"celakalah kedua tangan abu Lahab, dan sememangnya Abu lahab adalah celaka"

(Surah Al-lahab : 1)

KEDUA:

Firman Allah;

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أُولَئِكَ يُعْرَضُونَ عَلَى رَبِّهِمْ وَيَقُولُ الْأَشْهَادُ هَؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى رَبِّهِمْ أَلَا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ

Maksudnya;
"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah? Mereka itu akan dihadapkan kepada Tuhan mereka, dan para saksi akan berkata: "Orang-orang inilah yang telah berdusta terhadap Tuhan mereka." Ingatlah, laknat Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim"

(Surah Hud : 18)

KETIGA;

Firman Allah;

أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya;
"Mereka itu (orang yang zalim), balasannya ialah: bahwasanya la'nat Allah ditimpakan kepada mereka, (demikian pula) la'nat para malaikat dan manusia seluruhnya"

(Surah Al-Imran : 87)

KEEMPAT:

Imam Al-Bukhari ada meriwayatkan hadis, bahawa nabi SAW ada berdoa dalam qunutnya;

اللَّهُمَّ الْعَنْ فُلَانًا وَفُلَانًا وَفُلَانًا

Maksudnya;
"Ya Allah, berilah laknat kepada fulan, fulan dan fulan"

Doa ini dibaca oleh nabi SAW setelah membaca;

سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ

Maksudnya;
"telah mendengar oleh Allah terhadap mereka yang memujinya. Wahai tuhan, kepujian itu layak untuk kamu" (Al-Bukhari : 3762)

KELIMA;

Imam At-tarmizi ada meriwayatkan hadis, bahawa Nabi SAW ada berdoa dalam peperangan uhud;

اللَّهُمَّ الْعَنْ أَبَا سُفْيَانَ اللَّهُمَّ الْعَنْ الْحَارِثَ بْنَ هِشَامٍ اللَّهُمَّ الْعَنْ صَفْوَانَ بْنَ أُمَيَّةَ

Maksudnya;
"ya Allah, berilah laknat terhadap Abu Sufyan. Ya Allah, berilah laknat terhadap Al-haris bin Hisyam. Ya Allah, berilah laknat terhadap Safwan bin Umayyah"

Ekoran doa nabi SAW itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan firman-Nya;

لَيْسَ لَكَ مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ

Maksudnya;
" Tak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka itu atau Allah menerima taubat mereka, atau mengazab mereka karena sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim."

(Surah Al-Imran : 128)

Kemudian dari turunnya ayat ini, menyebabkan mereka yang nama-nama mereka disebut oleh nabi dalam doa tersebut bertaubat. Dan Allah telah mengampun dosa mereka, bahkan selepas itu, mereka menjadi orang islam yang baik. (At-tarmizi : 2930)

KEENAM;

Imam At-tibrani meriwayatkan hadis. Bahawa nabi SAW berdoa ketika baginda takut/bimbang terhadap sesuatu kaum;

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ، وَنَدْفَعُكَ فِي نُحُورِهِمْ

Maksudnya;
"Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan kamu daripada segala kejahatan mereka, dan kami minta pertahanan kamu pada tengkok-tengkok mereka" (Al-Mukjam Al-kabir : 1579)

* maksud dengan doa "kami minta pertahanan kamu pada tengkok-tengkok mereka", adalah doa agar mereka binasa.

ISTIDLAL

Dari Ayat-ayat al-quran dan hadis-hadis nabi SAW ini, dilihat bahawa Allah sendiri membenarkan ungkapan celaan dan laknat diberikan kepada mereka yang zalim. Bukan sekadar itu sahaja, mendoakan agar diberikan laknat kepada mereka terbabit pun dibenarkan dalam islam.

Makanya, terlebih dibenarkan dalam islam apabila mendoakan kecelakaan seseorang itu 'dita'liqkan' dengan sesuatu amalan kezaliman yang bakal dilakukan. Ia sedikit sebanyak, merupakan salah satu cara untuk mencegah seseorang itu daripada melakukan kezaliman.

Sabda nabi SAW;

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

Maksudnya;
"tolonglah saudara kamu yang zalim dan yang kena zalim"

Seorang lelaki bertanya, "wahai rasulullah, aku akan menolong seseorang yang dizalimi. Bagaimana pula, hendak menolong orang yang zalim?"

Jawab nabi, "berhentikan dia daripada melakukan kezaliman, maka itu adalah cara kamu menolong dia" (Al-bukhari : 6438)

Dari hadis ini, amat nyata bahawa nabi SAW menyatakan bahawa perlu dilakukan tindakan yang boleh memberhentikan seseorang yang zalim itu daripada dia melakukan kezaliman.

Justeru, jika dengan cara menyebut akan berdoa kebinasaan terhadap orang yang zalim dapat memberhentikan dia dari melakukan kezaliman, maka itu merupakan tindakan yang tidak salah dalam islam, malahan ia adalah sesuatu yang disyariatkan dalam islam.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani

Tuesday, December 1, 2009

Tuan Guru Nik Aziz & Haji Dengan Wang Hadiah




SOALAN

Apa pandangan ustaz berkenaan seseorang pergi haji dengan wang hadiah orang lain, saya rasa ustaz faham isu ini berkait dengan kenyataan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan yang membatalkan hasrat menunaikan haji pada tahun ini (2009) akibat pertikaian dan tuduhan rasuah. Tapi beliau masih bersedia menerima tajaan dari mana-mana pihak tahun hadapan.

JAWAPAN

Hukum asal bagi menunaikan haji dengan wang hadiah adalah HARUS tanpa sebarang khilaf. Walaupun seseorang digalakkan untuk menggunakan wang sendiri bagi menunaikan haji bagi memperolehi maksud haji yang menagih pengorbanan tenaga dari tubuh badan, minda dan wang.

Namun demikian, adalah tidak salah sama sekali sesiapa yang mampu untuk menghadiahkan sebahgain dari kurniaan kekayaannya bagi menaja sesiapa sahaja khsuusnya bagi mereka yang belum menunaikan haji untuk melunaskan rukun Islam yang kelima itu. Demikian juga diharuskan untuk menaja mana-mana alim ulama atau sesiapa juga bagi tujuan yang sama.Lebih digalakkan jika sekiranay yang taja BELUM PERNAH menunaikan Haji.

Namun begitu, hukum asal akan berubah mengikut keadaan dan situasi. Persoalan niat adalah persoalan yang sukar dijadikan sandaran dalam hal ini kerana ia adalah urusan hati yang tersembunyi, diketahui secara tepat hanya oleh Allah swt.

Justeru, jika ada mana-mana ilmuan yang menjawab dalam persoalan ini bahawa semuanya bergantung kepada niat. Sudah tentu begitu di sisi Allah, namun pandang sisi manusia juga perlukan penjelasan yang lebih mendalam sebagai satu panduan.

Menyatakan hukum dengan menyandarkan ia kepada niat semata-mata tidak akan menyelesaikan kekeliruan, malah dibimbangi akan disilap fahami oleh orang awam sehingga menyalahgunakan hujjah tersebut dalam tindakan yang terangan bersalahan dengan displin Islam, seperti berdua-duaan (berdating) di tempat sunyi kemudian mendakwa niat mereka baik dan sebagainya.

APA RASUAH ?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, perlu difahami erti rasuah menurut istilah yang diterima pakai oleh perundangan Islam adalah :-

ما يُعطى لإبطال حق أو لإحقاق باطل

Ertinya : Apa-apa yang diberikan untuk membatalkan sesuatu yang benar dan membenar yang batil (melayakkan yang batil) ( Syarh as-Sunnah, Al-Baghawi, 10/88)

Namun demikian, takrif Rasuah menurut perundangan di Malaysia pula adalah lebih pelbagai dan boleh dibaca dari tulisan saya yang lalu di SINI .

JADI APA PANDUAN HUKUM DALAM HAL INI?

Bagi memahami perubahan hukum dalam hal ini, beberapa dalil dan situasi terpilih berikut boleh dijadikan rujukan.

  • 1) Hadiah buat seseorang berpangkat

من استعملناه على عمل فرزقناه رِزْقًا، فما أخذ بَعْدُ فهو غلولُ

Nabi Muhammad s.a.w bersabda : " Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

  • 2) Sebuah Hadis :

استعمل النبي صلى الله عليه وسلم رجلاً من الأزد يُقال له ابن اللتبية على الصدقة، فلما قدم قال: هذا لكم وهذا أهدي لي، قال: فهلا جلس في بيت أبيه أو بيت أمه، فينظر أيُهدى له أم لا.... ثم قال: "اللهم هل بلغت ثلاثًا"

Ertinya : Nabi bersabda kepada seorang gabenornya bernama Ibn Lutbiah yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata :

"Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda

" Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)

"Ya Tuhanku, adakah telah aku sampaikan (kepada umatku akan hal ini) sebanyak tiga kali..(Al-Bukhari, no 2597 & Muslim no 1832)

3) Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.

Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:

"Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh," Abdullah menjawab, "Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!" Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!" [Imam Malik, Al Muwattha':1450].

4) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda :

"Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur" [Riwayat Ahmad].

BAGAIMANA KES MENTERI BESAR KELANTAN?

Bagi kes yang melihatkan Menteri Besar Kelantan, seorang tokoh agama yang dihormati lagi dikasihi oleh kebanyakan rakyat Kelantan dan usahawannya. Jika dilihat dari sudut rasuah menurut istilah Syariah, kemungkinan besar tajaan ini tidak berkait dengan ciri utama rasuah menurut Islam.

Berkaitan isu WANG KHIANAT pada pandangan Islam pula, ia juga mungkin TIDAK JATUH kepada beliau, jika benar-benar semua hadiah yang diberikan itu tidak bersangkut paut dengan jawatannya tetapi hanya kerana dirinya adalah seorang ulama.

PENGECUALIAN sebegini memang wujud dari teks-teks fatwa silam sebagaimana berikut

يجوز لولاة الأمور والعُمَّال قبول الهدية ممن كان يهدي إليهم قبل توليتهم مناصبهم، كهدية من قريب أو صديق بشرط أن لا تزيد قيمة هذه الهدية عما كان يُهْدى إليهم قبل تولي مناصبهم ولا تكون لها أيَّة علاقة بأعمالهم.

Ertinya : Harus hukumnya bagi seseorang pemerintah dan pegawai (pentadbir) menerima hadiah dari pemberian hadiah itu bermula semenjak sebelum ia memegang jawatannya, seperti hadiah hubungan kerabat atau rakan, namun ia dengan syarat NILAI HADIAH YANG DIBERI (SELEPAS NAIK JAWATAN) ADALAH SAMA dengan sebelum naik jawatan, serta MESTILAH HADIAH TERSEBUT TIDAK MEMPUNYAI ikatan dan kaitan sama sekali dengan jawatannya ( kuasanya) [1]

Imam AN-Nawawi pula menegaskan :-

وقد بين صلى الله عليه وسلم في نفس الحديث السبب في تحريم الهدية عليه وأنها بسبب الولاية، بخلاف الهدية لغير العامل، فإنها مستحبة،

Ertinya : Nabi s.a.w telah menjelaskan dalam hadis yang sama (di atas) bahawa sebab pengharaman terima hadiah sebegitu adalah disebabkan oleh JAWATANNYA, berbeza dengan hadiah yang diberikan kepada bukan pegawai yang mana ianya adalah digalakkan. ( Syarah Sohih Muslim, 6/462 )

WALAUPUN BEGITU

Kesimpulannya, dalam kes Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nikmat, saya dan ramai lagi yakin bahawa ia tiada unsur rasuah mahupun wang khianat. Ini kerana saya yakin, walaupun beliau tidak memegang jawatan Menteri Besar dan duduk di rumah sahaja sekalipun, masih ramai yang berlumba-lumba untuk memberikannya hadiah tajaan Haji dan lain-lain disebabkan kelebihaan ilmu dan amalan yang terzahir pada diri beliau dan bukan pada JAWATANNYA, sehinggakan seliparnya juga dicuri kerana ‘berkat'. [2]

Namun demikian, kita tidak boleh memandang hanya kepada mereka yang bersangka baik sahaja. Apa yang perlu diteliti kini, semua menyedari bahawa beliau bukan semata-mata seorang tokoh agama, namun juga adalah tokoh politik dan ketua eksekutif pentadbiran bagi sebuah negeri.

Justeru, atas dasar tersebut, menurut penilaian sederhana saya, adalah LEBIH WAJAR untuk beliau menolak sebarang tawaran hadiah haji sedemikian selagi mana beliau masih memegang jawatan Menteri Besar. Pandangan saya ini berdasarkan banyak aspek dan sandaran, sebahagiannya adalah seperti berikut :-

1) Mengelak tohmah dan sangka buruk yang memudaratkan.

Sekiranya kita menyusuri perbahasan hukum-hukum Fiqh di dalam kitab-kitab utama yang silam, akan didapati bagaimana beberapa amalan yang HARUS pada hukum asalnya menjadi HARAM atau ditegah akibat daaripada wujudnya unsur ‘tohmah' dan ‘kebolehan membawa sangkaan buruk' . Cukuplah kita ambil satu contoh dalam bab ini :

Imam Al-Kasani ketika membicarakan persoalan adab seorang qadhi (adab al-Qadha) menghurai :

ومنها : أن لا يقبل الهدية من أحدهما ، إلا إذا كان لا يلحقه به تهمة .

Ertinya : Sebahagian darinya (adab seorang qadhi) : Adalah tidak menerima hadiah dari salah seorang darinya (dua pihak yang sedang dibicarakan) kecuali jika ia tidak membawa kepada sebarang tohmahan (tuduhan buruk). (Bada'i As-Sona'ie, 7/10)

Walaupun teks di atas bukan dalam konteks menteri besar atau pemerintah, namun maqasidnya jelas, ia berkait dengan mereka yang memegang kuasa. PEMEGANG KUASA MESTILAH DIYAKINI DAN DILIHAT BERSIH OLEH ORANG-ORANG YANG BERGANTUNG DI BAWAHNYA, jika dia seorang hakim atau qadhi seperti dalam teks di atas, dia mestilah diyakini TIDAK BERAT SEBELAH oleh kedua-dua pihak di dalam mahkamahnya.

Jika dia pemerintah, hal yang sama juga terpakai, IAITU DIA MESTI DIYAKINI BERSIH DAN MAMPU MEMBERIKAN KEADILAN KEPADA RAKYAT BERDASARKAN KELAYAKAN DAN BUKAN ATAS PENGARUH-PENGARUH SAMPINGAN SEPERTI KERABAT, HADIAH YANG DIBERI DAN SEBAGAINYA.

Justeru, dalam hal Menteri besar Kelantan, umumnya mungkin yakin dengan peribadi beliau dalam menjaga keadilan. Namun perlu diingat bahawa di bawah bidang kuasa seorang Menteri Besar, terdapat pelbagai pegawai, pelbagai jenis kuasa untuk menentu dan memutuskan keputusan khsuusnya melibatkan penganugerahan jawatan dan kontrak. Sebahagian besarnya memerlukan kepada nasihat dan rundingan pegawai-pegawai ini terlebih dahulu sebelum dilulus oleh Menteri Besar. Maka sejauh mana pula, orang ramai boleh yakin kepada pegawai-pegawai ini sebegaimana keyakinan mereka kepada Menteri Besarnya.?

Saya kira, ramai orang di bawah beliau tidak mampu menyamai krebiliti, ketahanan sehebat beliau dan keyakinan ramai kepada pegawainya juga tidak seperti keyakinan kepada Menteri Besar Kelantan.

Tatakala itu, orang ramai akan menggandaikan si pemberi hadiah akan dikenali oleh para pegawai beliau, yang sebahagiannya turut mempunyai kuasa tertentu, KEADAAN INI TIDAK DINAFIKAN AKAN MEMBAWA TOHMAHAN DAN SANGKA BURUK RAMAI.

Ia boleh membawa sangkaan ramai, BAHAWA PEMBERI HADIAH TAJAAN HAJI INI MENDAPAT LEBIH KEISTIMEWAAN BERBANDING YANG TIDAK MEMBERI HADIAH, Paling kurang, ia menjadikan syarikatnya LEBIH DIKENANG DAN DIINGATI OLEH PARA PEGAWAI. Hasilnya, mungkin lebih mudah untuk memperolehi tawaran kontrak tertentu.

Saya tidak menuduh, saya cuma menyedarkan bahawa ruang sangkaan dan tohmahan itu sangat boleh untuk terbuka. Atas asas itu, saya berpandangan AMAT WAJARLAH Menteri Besar Kelantan untuk MEMBATALKAN MENUNAIKAN HAJI TAHUN INI DENGAN BERBEKALKAN WANG DAN PAKEJ TAJAAN. Namun beliau tentunya MASIH boleh pergi dengan wangnya sendiri tanpa perlu membatalkan terus.

Selain itu, saya juga berpandangan tajaan haji atau umrah di tahun-tahun akan mendatang juga wajar ditolak. Berikanlah sumbangan itu kepada alim ulama lain yang tidak berjawatan rasmi atau pembuat keputusan yang melibatkan wang dan kontrak, yang tidak mendatangkan tohmah dan fitnah dan sangka buruk. KECUALI jika ia dilakukan secara tertutup, ia terpulang kepada semua yang terlibat untuk menjaga displin hukum.

Nabi s.a.w bukan sahaja melarang umatnya bersangka buruk, namun kita juga diajar oleh baginda nabi s.a.w untuk CUBA SEDAYA UPAYA MENGELAKKAN diri dari membuak ruang yang boleh menyebabkan diri kita disangka buruk. Itulah konsep sad az-Zara'i. (penutupan pintu-pintu yang boleh membawa kepada haram oleh diri dan kepada diri).

2) Menolak kemudaratan adalah didahulukan berbanding mendapatkan kebaikan

Ia jelas dari kaedah Fiqh yang cukup terkenal. Benar, menunaikan haji membawa kebaikan kepada penderma dan yang menerima, namun jika ia sehingga menyebabkan nama baik kerajaan pimpinannya rosak akibat dari itu. Wajarlah ia dijauhi. Tidak kiralah mudarat itu akibat sangka buruk, fitnah atau dusta, namun ia tetapi membawa mudarat yang jelas. Lihatlah sekeliling dan media yang sedang mencipta sesuatu buruk dan mudarat dalam isu ini.

3) Maslahat umum didahulukan ke atas maslahat individu (atau yang lebih kecil)

Benar, menerima tajaan hadiah haji itu adalah sebuah kebajikan dan pahala buat dipenderma, pahala dan ganjaran juga bagi yang menerima. Namun jika ia jelas boleh membawa mudarat seperti tuduhan rasuah yang sehingga boleh memudaratkan kemaslahatan yang lebih ramai, bukankah ia lebih baik dijauhi. Si pemberi masih boleh menderma kepada ilmuan lain bagi mendapatkan pahala yang diinginya.

AKHIRNYA

Kesimpulan jawapan saya kepada persoalan yang dikemukakan, SAYA AMAT BERSETUJU untuk Menteri Besar Kelantan menolak tajaan hadiah bagi mengerjakan Haji pada tahun ini, namun beliau masih boleh pergi dengan wangnya sendiri tanpa perlu membatalkan terus.

Saya juga merasakan, TIDAK WAJAR untuk beliau menerima sebarang tajaan haji di tahun-tahun hadapan selagi beliau masih memegang jawatan Menteri Besar atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas.

Sekdar itulah pendapat saya secara ringkasnya, ia bukan penentuan hukum, ia hanyalah sebuah pandangan dan nasihat yang boleh diterima atau ditolak oleh sesiapa sahaja. Perlu disedari juga, pandangan dan jawapan kepada soalan di atas bukan sahaja terpakai kepada Menteri Besar Kelantan ketika ini, namun bagi semua penjawat awam, swasta dan ahli politik dari mana-mana jua parti politik.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Mengapa politik Kelantan bergolak?

Mengapa politik Kelantan bergolak?
Mutakkhir ini kelihatan seolah-olah kerajaan Kelantan dibawah pimpinan YAB Datuk Menteri Besar Tok Guru semakin dihimpit masalah. Seluruh peluru media kerajaan pusat khususnya umno dan kuncu mereka semakin galak membawa isu-isu yang boleh menampakkan keburukan pimpinan PAS khususnya dan kerajaan negeri amnya.

Sayugia diingatkan bahawa Tok Guru diserang habis-habisan oleh juak umno adalah kerana Tok Guru telah menolak pelawaan Presiden umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Malaysia.

Program untuk menjatuhkan Tok Guru tak pernah berhenti dijalankan oleh juak umno dimana anak Tok Guru pernah ditangkap dan ditahan selama lebih 5 tahun dibawah ISA.

Kes pelajar dipukul oleh guru sekolah agama berdekatan rumah Tok Guru dibesar-besarkan oleh media cetak arus perdana, kes Air Kelantan diserbu oleh SPRM, isu menggondolkan bukit di Gua Musang dan beribu-ribu isu lain telah dimainkan secara sistematik dengan satu tujuan, satu hala, satu keperluan iaitu menjatuhkan maruah Tok Guru, mengaibkan kerjaan Kelantan kerana tak pandai memerintah negeri. Juak juak umno hampir berjaya menipu rakyat Kelantan kerana mereka berkerja siang dan malam demi mencipta kejayaan.

Umno dan juak mereka akan terus berusaha untuk mengambilalih pemerintahan Kelantan dari PAS kerana hasil minyak yang berlipat ganda. Umno amat bijak menipu dan mengkelabukan mata rakyat yang gilakan mata benda dengan membelakangi hukum Allah.

Mereka menjahilkan diri sendiri dan menyesatkan orang lain demi kepentingan politik peribadi. Juak umno dulu, kini dan selamanya sanggup menipu semua orang di Malaysia, sanggup menutup segala pintu rasuah dari diketahui umum, mereka juga sanggup bersekongkol dalam melakukan khianat terhadap bangsa Melayu atas nama Parti Melayu Bersatu. Sesungguhnya merekalah yang menanam semangat politik sempit demi untuk meneruskan kuasa yang ada.

Kelantan terus membangun walaupun geran tahun dibayar lewat, hutang tetap dibayar kepada kerajaan pusat, kakitangan awam tetap merasai bonus bila diistiharkan, pinjaman kakitangan tiada faedah dikenakan, semua rakyat layak mendapat perlindungan insuran, pengajian agama dimertabatkan kerana ada kuliah mingguan.

Pendek kata hak rakyat didahulukan, Islam diutamakan oleh pimpinan PAS Kelantan yang diterajui oleh Tok Guru. Bekas exco MCA juga didapati sentiasa memberi derma kepada Tabung Serambi Mekah dan semua bangsa dapat hidup aman tenteram dan tak pernah berlaku kekacauan sebagaimana yang diancam oleh juak umno Kelantan.

Percayalah bahawa Umno akan terus berusaha untuk merampas kuasa dinegeri yang diperintah pembangkang kerana mereka bijak tak boleh diajar, bodoh tak mahu belajar dari sejarah silam.

Kepentingan peribadi dan kroni sudah sedaging dalam diri masing-masing sehingga menyebabkan Islam diketepikan, keadilan dipinggirkan, Malaysia yang kaya raya hampir muflis dan papa kedana kerana rasuah yang berleluasa. Rakyat perlu faham semua kejadian ini.